Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Pahang. Ianya ditubuhkan pada 21 Januari 1974 dengan modal dibenarkan RM70 juta dan modal berbayar RM60.61 juta.
Pada asasnya penubuhan syarikat ini berdasarkan kepada konsep untuk memberi peluang lebih ramai Bumiputera Pahang bergiat secara aktif dalam perusahaan perkayuan.
ASPA telah diberi dua tanggungjawab utama oleh Kerajaan Negeri Pahang. Pertama, meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan dan kedua, meningkatkan faedah-faedah yang boleh diperolehi dari sumber hutan serta mengamalkan kaedah pengeluaran hutan secara kekal (sustained yield).
Oleh kerana sumber hutan telah berkurang, untuk sumber pendapatan, ASPA telah mengubah aktiviti utama dari perhutanan dan industri perkayuan kepada perladangan tetapi masih mengekalkan matlamat asal iaitu memberi peluang pekerjaan dan mengalakkan Bumiputera terlibat dalam industri perladangan.
ASPA telah melibatkan diri dalam industri perladangan kelapa sawit dan getah dengan pembukaan ladang pertama iaitu Ladang ASPA Kampung Mikang berkeluasan 1,500.15 hektar pada tahun 1995.
Sehingga kini, ASPA telah memiliki lima ladang (Ladang Aspa Berabung, Ladang Aspa Sg Miang, Ladang Aspa Kg Mikang, Ladang Aspa Sg Jeram 1,2,3) dengan keluasan 9,137.14 hektar (22,577.87 ekar) di daerah Pekan dan Rompin. Kesemua ladang milik ASPA telah mempunyai Sijil MSPO.








